Monday, 24 December 2012

Kasut Farees


Nama aku B-First dan tuan aku namanya Muhammad Farees Idlan a.k.a Pais. Masa mula-mula aku dibeli (Januari 2012), rupa aku tak lah sehodoh ini.Kulit aku hitam berkilat, anggun dan mengancam jika nak dibandingkan dengan member-member / kasut-kasut yang lain. Memang aku yang paling glamour & menjadi pilihan budak-budak sekolah masa kini.

Tapi tuan aku ni memang pemalas betul. Aku ingat sejak dia jadi tuan aku, baru sekali dua  dia mandikan aku. Itu pun basuh gitu-gitu je sebab sibuk benar nak tengok kartun.

Bila dua tiga minggu tak basuh, aku punya bau....perghh...sungguh menusuk hidung & usus. Baunya boleh dihidu seantero dunia.

Kalau kat sekolah, tuan aku menggunakan aku sesuka hati dia je. Selagi ada lopak selagi tu dia nak pijak (walaupun banyak lagi tempat kering). Dia ingat dia Power Ranger ke apa ? Basah kuyup aku tapi tak pulak tuan aku teringat nak jemur aku kat tempat panas. Apa lagi, lagi berkepamlah bau aku. Mungkin dia segaja buat macam tu biar serangga-serangga & ulat-ulat, termasuk pacat, lintah, cacing dan yang seangkatan dengannya tak berani nak masuk ke dalam aku (atau dalam erti kata lain...tak tergamat nak masuk). Semuanya terbunuh dengan sendirinya sebelum sempat melompat atau menyelinap masuk.

Selepas beberapa purnama aku dibiar sebegitu rupa, aku semakin reput dan uzur. Warna kulit aku yang dulunya umpama hitam manis si buah manggis, sekarang ni bertukar kelabu taik anjing. Muncung ku yang dulunya mancung, sekarang ni dah berlubang sana sini. Bukan air je yang boleh masuk, malah seekor anak tapir pun boleh masuk.

Sekarang ni aku dengar khidmat aku tak diperlukan lagi. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, tuan aku dah beli kasut yang baru yang bernama 'Diadora'. Aku mengucapkan selamat maju jaya pada kasut baru tersebut. Pada bekas tuan ku, kau hargailah kasut-kasut mu sebaik-baiknya. Basuhlah mereka setiap minggu dan pastikan dijemur di tempat panas supaya sentiasa kering dan tak berbau. Ingatlah tuan ku betapa susahnya emak & ayah tuan sebab kena berbelanja lebih & melawat kedai kasut beberapa kali dalam setahun untuk membeli kasut baru yang mana duit tersebut boleh digunakan membeli nasi arab kegemaran tuan. Wassalam.

Nota : Coretan di atas sempat dirakam sebelum kasut tersebut di buang oleh bapa tuan tersebut di tong sampah besar dekat Stadium Paroi. Semoga coretan tersebut menjadi pengajaran kepada Muhammad Farees Idlan a.k.a Pais.